Hikayat Merong Mahawangsa :
Analisis dalam karya agung Hikayat Merong
Mahawangsa adalah berkaitan dengan kajian pengarang tersebut yang
menyatakan bahawa hikayat ini dapat dikaitkan persamaan di
antara mitos dan realiti.
SINOPSIS
Angkatan Raja Merong Mahawangsa yang sedang
belayar dari Rom ke negeri China telah diserang oleh geroda. Ia membuka negeri
Langkasuka dan diangkat menjadi raja. Ia pulang ke Rom setelah menabalkan
puteranya Raja Merong Mahapudisat menjadi raja. Langkasuka ditukar namanya ke
Kedah Zamin Turan.
Berpandukan nasihat yang diberikan oleh
ayahandanya, Raja Merong Mahapudisat merajakan putera sulungnya menjadi Raja
Siam, putera tengah sebagai Raja Perak dan anakandanya yang ketiga, seorang
puteri, sebagai Raja Patani. Putera yang bongsu menggantikan ayahanda mereka
sebagai Raja Kedah dengan gelaran Raja Seri Mahawangsa. Raja inilah yang
memulakan tradisi menghantar persembahan bunga mas dan bunga perak sebagai
hadiah kepada kekandanya, Raja Siam, setiap kali kekandanya mendapat putera.
Raja Seri Mahawangsa mangkat setelah kecewa
dengan puteranya yang tidak menurut perintah dan digantikan oleh putera itu
dengan gelaran Raja Seri Maha Inderawangsa. Seterusnya putera Raja Seri Maha
Inderawangsa menjadi raja dengan gelaran Raja Ong Maha Perita Deria yang lebih
terkenal dalam sejarah negeri Kedah sebagai Raja Bersiong. Apabila Raja
Bersiong turun dari takhta setelah ditentang kerana kezalimannya, puteranya
ditabalkan sebagai Raja Phra Ong Mahapudisat. Raja ini digantikan oleh
puteranya, Raja Phra Ong Mahawangsa yang kemudiannya menjadi raja Kedah yang
pertama memeluk agama Islam. Syeikh Abdullah Yamani menukarkan namanya kepaga
Sultan Muzaffar Syah.
ANTARA
MITOS DAN REALITI
Untuk menimbulkan kekaguman masyarakat dan
mengekalkan ketinggian martabat raja-raja Kedah, pengarang merendahkan lagi
penceritaannya dengan memasukkan peranan yang dimainkan oleh gajah sakti Gemala
Johari. mitos binatang sakti tidak ketinggalan dalam karya-karya historiografi
Melayu yang lain. Adanya Gemala Johari di sini adalah sesuatu yang diharapkan.
Masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh manusia dengan mudah diatasi oleh
gajah sakti. Gemala Johari masuk ke hutan dan membawa ke istana putera Raja
Bersiung dengan isterinya anak orang berhuma di hujung negeri. Sengaja peranan
Siam dalam menentukan siapa pengganti raja itu diperkecilkan dengan memulangkan
segala-galanya kepada Gemala Johari.
Supaya kedaulatan raja dan keturunannya dapat
dipertahankan pengarang mengambil masa untuk menerangkan asal usul keluarga
yang berhuma itu. Isteri Raja Bersiung bukanlah sembarangan orangnya tetapi
berasal daripada biaperi.
Jelas pengarang memikirkan terlebih dahulu
semasak-masaknya dan merancang dengan teliti pengolahan fakta dan teknik
penulisannya. Bukan sahaja beliau harus membentangkan fakta sejarah tetapi juga
mengadunkannya dengan cara yang terbaik supaya kedudukan raja tidak terjejas.
Unsur-unsur mitoslah yang membantunya memenuhi tugas ini. Segala alasan yang
dikemukakan tidak lagi dipersoalkan kerana kebanyakan unsur mitos itu sudahpun
sebati dalam pemikiran masyarakatnya. Atas dasar 'percaya' dengan mudah dan
berkesan, sesuatu yang hanya ada di dalam pemikiran pengarang lahir menjadi
realiti.
Jika dinilai semula huraian pengarang tentang
penghantaran bunga emas ke Siam, kita akan dapati bahawa penafiannya adalah
sesuatu yang biasa. Negeri-negeri Melayu lain yang pernah terlibat dengan Siam
enggan mengaku bahawa penghantaran bunga emas itu adalah bukti tertunduknya
mereka ke bawah kuasa Siam. Bagi mereka kiriman itu dibuat sebagai suatu usaha
diplomasi mententeramkan kerajaan Siam dan menghalangnya daripada menyerang
negeri-negeri Melayu itu.
Walaupun pada mulanya Hikayat Merong
Mahawangsa menyatakan bahawa putera-putera dan puteri raja Kedah yang membuka
negeri-negeri Siam, Perak dan Petani, hanya Siam sahaja yang diulang sebut oleh
pengarang. Tidak ada lagi rujukan dibuat berhubung dengan Perak dan tentang
Petani pula hanya disebut sekali.
Hal ini membayangkan keadaan yang sebenarnya
di mana dalam realiti sememangnya ada perhubungan yang erat antara Kedah dengan
Siam. Walau bagaimana sekalipun diusahakan oleh pengarang menyembunyikan fakta
itu, ia muncul sebagai sesuatu yang benar.
Kemudian pengarang menceritakan tentang
Kelana Hitam yang menjadi raja di Pulau Air Tawar ingin menaiki takhta kerajaan
negeri Kedah apabila didengarnya Kedah tidak beraja selepas hilangnya Raja
Bersiung. Pengarang menyatakan secara kebetulan angkatan Kelana Hitam telah
bertembung dengan angkatan Kelahum dari Siam. Kelahum telah ditugaskan
menabalkan pengganti Raja Bersiung setelah orangnya ditemui.
Nyata Kelana Hitam tidak sempat mencapai
cita-citanya kerana dihalang oleh Kelahum. Pertempuran berlaku dan Kelana Hitam
ditawan. Peperangan ini telah digambarkan dengan teliti dan terperinci oleh
pengarang. Beliau menggunakan klise-klise yang terdapat dalam karya-karya
kesusasteraan Melayu klasik apabila menggambarkan sesuatu keadaan. Kekuatan dan
kegagahan panglima-panglima diceritakan satu persatu. Tidak terdapat karya
historiografi lain yang melukiskan gambaran peperangan yang sebegitu jelas dan
menarik. Selain dari lukisan suasana pengarang juga memperlihatkan
pengetahuannya tentang teknik peperangan orang zaman dahulu dan cara-cara
mengatur perang.
Kisah peperangan ini memperlihatkan beberapa
persamaan dengan kisah peperangan dalam Hikayat Seri Rama yang disadur dari
Ramayana. Tetapi jika dibandingkan dengan lebih teliti, gambaran peperangan
dalam Hikayat Merong Mahawangsa lebih realistik dan berpijak dibumi yang nyata.
Kemenangan dicapai lebih kerana ketajaman akal dan kepintaran ilmu perang dan
kepahlawanan manusia biasa dan bukan sebab kesaktian dan kedewaan.
Persamaan yang terdapat dalam bahagian ini
dengan apa yang ditemui dalam Hikayat Seri Rama adalah kerana kedua-dua hikayat
ini hasil kesusasteraan lama. Pengarang tidak dapat lari menggunakan susunan
kata dan struktur kalimat yang sama dengan yang terdapat dalam karya-karya lain
yang sezaman dengannya. Persamaan yang terdapat dianggap tidak merendahkan mutu
karya tersebut malah mendekatkan lagi dengan karya-karya sezaman dan
membolehkan ia dimasukkan ke dalam golongan yang sama.
Kerana pertimbangan yang berlainan ramai
sarjana barat keberatan memberi Hikayat Merong Mahawangsa penilaian yang
saksama dan terus menganggapnya sebuah karya yang kurang bermutu. Winstedt
secara mudah mengenepikan hikayat ini tanpa mempertimbangkan nilai-nilai
masyarakat yang menghasilkan karya ini.
Di samping itu dapat dibuat kesimpulan bahawa
kemunculan Kelana Hitam adalah disengajakan oleh pengarang untuk menerangkan
lebih jelas perhubungan yang erat antara Kedah dan Siam. Pengarang juga
menggunakan kesempatan itu untuk menguatkan hujah bahawa hanya raja yang
berasal dari keturunan Merong Mahawangsa sahaja yang layak menaiki takhta
kerajaan Kedah.
Naungan Siam ke atas Kedah diteruskan
gambarannya dengan menyebutkan bahawa Kelahum meneruskan perjalanannya ke
Kedah. Setelah menemui tempat yang baik di Sala, Kelahum membina kota di situ
dan memerintahkan orang-orangnya pergi mengadap menteri keempat dan menjemput
raja yang baru datang bermain ke Sala. Di Salalah raja Kedah yang baru
ditabalkan dengan nama Raja Phra Ong Mahaputisat. Kelahum telah melaksanakan
tugasnya sebagai wakil Raja Siam untuk mengiktirafkan raja itu. Secara
tersembunyi pengarang membuat implikasi bahawa pengiktirafan itu tidak membawa
apa-apa kesan kerana sewaktu Kelahum sampai, raja itu sudah lama bersemayam di
Kota Aur. Dan berangkatnya ke Sala adalah lebih untuk bersuka-suka memburu
binatang dan menangkap ikan.
Apabila Kelahum berangkat pulang ke Siam,
Raja Phra Ong Mahaputisat mengirimkan hadiah bunga emas dan bunga perak kepada
Raja Siam. Selepas itu dikatakan Kedah dan Siam tidak berputusan menghantar
utusan tiap-tiap tahun tanda berkasih. Pengarang tetap mempertahankan bahawa
perhubungan itu adalah antara dua negara Staraf. Begitulah caranya pengarang
menjaga maruah rajanya tanpa menyingkirkan fakta sejarah sebenarnya.
Berbeza dengan kebanyakan karya historiogfari
Melayu yang lain, Hikayat Merong Mahawangsa tidak menghadkan unsur mitos
dikemukakan hanya dibahagian awal cerita. Pengarang memasukkan unsur mitos di
mana-mana sahaja asalkan dapat digunakan untuk sesuatu tujuan, terutama sekali
untuk menambahkan takjub rakyat terhadap rajanya. Dalam hal ini Hikayat Merong
Mahawangsa agak selari dengan Hikayat Banjar.
Kerana itu di pertengahan ceritapun tiba-tiba
pembaca bertemu dengan kelahiran Raja Buluh Betung dari ruas buluh yang dibawa
pulang oleh Raja Phra Ong Mahaputisat dari berburu. Di dalam Hikayat Raja-Raja
Pasai dan Hikayat Acheh, unsur mitos seperti ini hanya terdapat di bahagian
awal cerita. Seharusnya semakin dekat pengarang dengan zaman yang lebih
terkemudian, unsur mitos ditinggalkan dan diganti dengan fakta-fakta yang
bersifat kenyataan.
Pengarang ini telah menggunakan kebebasannya
untuk melanggar kebiasaan ini. Jelas kepadanya unsur mitos dan realiti.
Kemungkinan lain ialah pengarang menemui kesempatan di sini untuk memasukkan
mitos ini kerana tidak sesuai di bahagian lain. Beliau mesti memasukkan mitos
ini kerana di dalam penulisan-penulisan lain mitos ini tidak ditinggalkan.
Kelahiran Raja Buluh Betung diseimbangkan
dengan penemuan Puteri Seluang di tengah-tengah buih putih yang mengalir di
Sungai Kuala Muda. Puteri Seluang bukanlah sesuatu yang asing dalam karya-karya
historiografi Melayu kerana terdapat rakan-rakan sejenisnya dalam Sejarah
Melayu, Hikayat Banjar, Cerita Sukadana dan Sulsilah Kutai, masing-masing
dengan nama Puteri Tanjung Buih dan Puteri Junjung Buih dan sebagainya.
Di dalam Hikayat Merong Mahawangsa wajar Raja
Buluh Betung dikahwinkan dengan Puteri Seluang kerana sama-sama berunsur mitos.
Dan kewujudan mereka bertentangan dengan realiti. Kedua-duanya tidak dibenarkan
berkembang wataknya. Keturunan mereka tidak mungkin dapat menduduki taktha
kerajaan kerana asal usulnya. Nyata disini terdapat semacam pertentangan antara
unsur mitos dan realiti. Karya ini merupakan suatu penulisan sejarah, unsur
realiti dipertahankan.
Begitu kecil peranan mitos ini sehingga
apabila Raja Phra Ong Mahawangsa, saudaranya memeluk agama Islam, Raja Buluh
Betung sengaja tidak disebut. Raja Buluh Betung ketika itu ditugaskan membina
kota baru di Padang Terap. Pengarang menyingkirkan watak mitos ini dari dunia
yang bersifat realiti dengan menceritakan bahawa Raja Buluh Betung membawa diri
setelah mendengar isterinya Puteri Seluang berbuat jahat dengan salah seorang
pembesar dalam semasa peningggalannya.
Sama seperti beberapa watak dalam Hikayat
Banjar yang hilang jasadnya sesudah mati, Raja Buluh Betung juga dikatakan
bertukar kembali manjadi buluh setelah menghembuskan nafas yang terakhir.
Sebelum mangkat Raja Buluh Betung memperlihatkan kepahlawanannya berperang
dengan angkatan Datuk Sungkai yang datang menyerang Kota Palas. Puteri Seluang
pula tidak lagi disebutkan selepas melahirkan Megat Zainal.
Kerana kisah Raja Buluh Betung dikemukakan
dalam peringkat yang sudah lewat dalam hikayat ini, ia sengaja diasingkan dari
istana besar di Kuala Muda. Kemangkatannya tidak menimbulkan apa-apa persoalan.
Pengarang telah cuba menggambarkan realiti watak ini dengan menghidupkan unsur
kepahlawannya. Unsur realitinya juga dilahirkan menerusi reaksi Sultan Muzafar
Syah ketika menerima berita kemangkatannya. Pengarang menulis :
"......maka tiada berkata-kata lagi,
tunduk, tengadah, menahankan air mata, kenangkan saudara Raja Buluh Betung
itu......"
Seterusnya pengarang menegakkan lagi mitos
tentang Raja Buluh Betung ini dengan mengemukakan sesuatu yang bersifat
realiti. Menteri Lela Putera telah memohon supaya Sultan Muzafar Syah
menghantar salah seoarang puteranya ke Kota Palas untuk menggantikan Raja Buluh
Betung. Sultan telah memenuhi permintaan itu dengan merajakan Raja Muazzan,
Raja Mahmud dirajakan di Kota Hulu Padang Terap dan Raja Sulaiman dihantar ke
Langkapuri. Dengan ini juga pengarang menguatkan pengakuan tentang adanya
kota-kota yang dibina oleh Raja Buluh Betung semasa hayatnya pada hal Raja
Buluh Betung itu adalah watak mitos. Mungkin juga dalam kisah ini Langkapuri
ialah Langkawi.
Di dalam karya-karya historiografi Melayu
lain, batasan antara mitos dan realiti lebih jelas jika dibandingkan dengan
hikayat ini. Cara penceritaan juga berubah menjadi lebih jelas dengan
pernyataan peristiwa-peristiwa yang betul-betul berlaku. Di samping pengarang
sendiri ada orang-orang lain yang tahu tentang peristiwa-peristiwa itu. Tidak
seperti peristiwa-peristiwa yang dikemukakan pada bahagian awal penulisan yang
cara penyampaiannya adalah hasil pemikiran dan pengolahan pengarang sendiri.
Cara unsur-unsur mitos itu disampaikan bergantung kepada tujuan yang ingin
dicapai oleh pengarang.
Keistimewaan Hikayat Merong Mahawangsa yang
teragung ialah cara yang dipilih oleh pengarang untuk mengisahkan bagaimana
Raja Phra Ong Mahawangsa memeluk agama Islam. Keagungan dan keangkuhan
pengarang dari istana Kedah ini menghalang beliau dari mengulang sebut cara
yang sudah termaktub di dalam Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu. Di
mana kedua-dua hikayat itu memperlihatkan unsur-unsur persamaan yang amat
jelas, Hikayat Merong Mahawangsa, atas kebijaksanaan pengarangnya mengemukakan
sejarah pengislaman yang tiada persamaannya dalam karya-karya historiogfari
yang lain. Gaya yang tersendiri ini ialah hasil kepintaran pengarang
menggembelingkan unsur-unsur realiti. Pengarang telah membuktikan bahawa beliau
mempunyai daya imaginasi yang kuat ketika mengolah bahagian ini.
Telah termaktub di jiwa pengarang bahawa
peristiwa raja memeluk agama Islam adalah peristiwa kemuncak dalam
penulisannya. Dengan itu kisah ini mestilah dikemukakan dengan sekuat-kuat
impak dan kesan yang terdaya. Peristiwa yang terpenting ini tidak mungkin
dikemukakan dengan begitu sahaja. Ia harus dikemukakan berlainan dari yang
sudah ada dalam karya-karya lain. Unsur mimpi seperti dalam Hikayat Raja-Raja
Pasai dan Sejarah Melayu tidak akan memberi keadaan yang diharapkan. Unsur
peperangan seperti Hikayat Banjar tidak akan mencapai tujuan yang dimaksudkan
oleh pengarang. Kisah bagaimana Islam sampai ke Kedah mestilah mengatasi
penceritaan-penceritaan lain yang sudah ada. Ini hanya dapat dilakukan dengan
mengadunkan unsur realiti dengan mengadunkan unsur realiti dengan yang bukan
realiti tetapi masih boleh diterima akal.
Mungkin setelah membuat
pertimbangan-pertimbangan inilah akhirnya pengarang menulis tentang kedatangan
Islam ke Kedah mestilah mengadunkan unsur realiti dengan yang bukan realiti
tetapi masih boleh diterima akal.
Pertama sekali, pengarang mengatakan Islam
yang sampai ke Kedah itu telah dibawa oleh Sheikh Abdullah dari Baghdad.
Pilihannya wajar bukan sahaja nama itu mengandungi 'aura'nya yang terasing
tetapi juga kerana Baghdad tidak kurang pentingnya sebagai suatu pusat
perkembangan dan pentadbiran kerajaan Islam.
Walaupun Sejarah Melayu ada menyebut tentang
seseorang Raja Kedah pernah mengadap ke Melaka untuk menerima nobat, Hikayat
Merong Mahawangsa tidak menyentuh tentang perkara ini. Mungkin masa yang
dikemukakan dalam Hikayat Merong Mahawangsa lebih awal daripada yang disentuh
oleh Sejarah Melayu berhubung dengan peristiwa ini. Hikayat Acheh juga
menyentuh tentang kedatangan Islam ke Kedah tetapi Hikayat Merong Mahawangsa
menyepi tentang rujukan ini. Biarpun demikian, pengarang menyatakan pada masa
Kedah menerima Islam, Acheh telah lama memeluk agama itu. Dikatakan apabila
Acheh mendengar Kedah sudah Islam, rajanya mengirim dua buah kitab karangan
Sheikh Nuruddin al-Raniri untuk dikaji. Namun demikian jelas bahawa pengarang
kita enggan melibatkan kerajaan-kerajaan Melayu lain dalam karangannya dan
mengrekonstruksikan versinya yang tersendiri.
Sumber: http://www.mykedah2.com/10heritage/111_2_p3.htm
Sumber: http://www.mykedah2.com/10heritage/111_2_p3.htm
Sulalatus Salatin :
Sulalatus Salatin Sejarah Melayu merupakan
satu karya sejarah berkaitan kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman
Kesultanan Melayu Melaka yang ditulis oleh beberapa orang pengarang Melayu.
Ketika Feringgi (Portugis) menakluk Melaka, salinan Sejarah Melayu telah dibawa
ke Goa. Sejarah Melayu ditulis di Melaka dan dibawa bersama semasa Sultan
Mahmud Syah berundur dari Melaka pada tahun 1511. Naskhah asal ini kemudian
dibawa ke Johor dari Kampar pada tahun 1528. Portugis merampas naskhah Sejarah
Melayu pada tahun 1536 semasa menyerang Johor Lama. Naskhah ini kemudian dibawa
balik ke Johor oleh Orang Kaya Suguh.
Terdapat perselisihan pendapat berkenaan Goa.
Pendapat pertama merujuk kepada Goa yang terdapat di India, manakala pendapat
kedua merujuk pada sebuah tempat bernama Gowa yang terletak di Sulawesi. Lihat
perbezaan ejaan keduanya. Pendapat yang kedua ternyata lebih kuat atas alasan
sekiranya Portugis mengambil salinan Sejarah Melayu dan dibawa ke Goa, India,
pastinya Sejarah Melayu akan dibawa terus ke Eropah sebagai harta rampasan.
Terdapat sekurang-kurangnya 29 versi tetapi versi yang paling mashyur adalah
versi Shellabear. Menurut pengenalan Sejarah Melayu naskah Shellabear, Yang
diPertuan Raja di Hilir Sultan Abdullah Mu’ayat Syah ibni’l Sultan Abdul Jalil
Syah telah mengutuskan Seri Nara Wangsa Tun Bambang untuk memerintah Bendahara
Paduka Raja Tun Muhammad@Mahmud (Tun
Sri Lanang) pada hari Khamis, 12 Rabiul Awal 1021 bersamaan 13 Mei 1612 agar
menyunting salinan Sejarah Melayu yang dibawa oleh Orang Kaya Sogoh dari
Goa/Gowa.
Ketika itu Sultan Johor Lama, Sultan Alauddin
Riayat Syah ibni Sultan Abdul Jalil Syah telah ditahan di Istana Raja Acheh,
Raja Iskandar Muda. Sejarah Melayu Sulalatus Salatin dianggap penting kerana ia
memberikan adat istiadat kerajaan, susunan raja Melayu dan sejarah kerajaan
Melayu dan boleh dikatakan menyerupai konsep sejarah sahih China, di mana pada
setiap pertukaran Dinasti di China, sejarah Dinasti sebelumnya akan ditulis dan
disimpan di arkib negara tersebut.
PENGARANG
SULALATUS SALATIN : TUN SRI LANANG
Tun Sri Lanang merupakan timang-timangan yang
diberikan kepada Tun Muhammad, anak Tun Ahmad Paduka Raja yang merupakan
seorang Bendahara Kerajaan Johor pada kurun ke-17 Masihi. Beliau telah
dilahirkan di Bukit Seluyut, Batu Sawar, Johor pada tahun 1565. Beliau adalah
Bendahara Johor pada ketika itu dan setelah Johor kalah dalam peperangan dengan
Aceh yang pada ketika itu diperintah oleh Sultan Iskandar Muda Aceh. Beliau
kemudiannya telah dibawa ke Aceh pada tahun 1613 dan telah menetap di negeri
Samalanga. Sultan Iskandar Muda telah melantik beliau sebagai penasihat utama
Baginda dan diberi delaran ‘Orang Kaya Datuk Bendahara Seri Paduka Tun
Seberang’. Beliau telah mendirikan pusat penyebaran agama Islam dan pendidikan
terutamanya di negeri-negeri pesisir timur Aceh. Beliau kemudiannya telah di
angkat menjadi raja di negeri Samalanga pada tahun 1615. Beliau telah mangkat
pada tahun 1659 di Lancok dan telah dimakamkan di sana.
Tun Sri Lanang sangat dikenali oleh kerana
karyanya iaituSulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang merangkumi pelbagai
sejarah masyarakat Melayu, Jawa, Brunei, Patani dan Campa. Kebenaran tentang
beliau sebagai penulis asal atau sekadar penyunting kitab tersebut tidak dapat
dipastikan dengan tepat. Namun menurut Syeikh Nuruddin al-Raniri, ulama dan
penasihat agama Sultan Aceh, telah memperakukan Tun Sri Lanang sebagai
pengarang dan penyusun Sulalatus Salatinkerana beliau kenal rapat dengan
Tun Sri Lanang. Kitab tersebut telah dapat disiapkan penulisan dan
penyuntingannya oleh Tun Sri Lanang dalam masa dua tahun iaitu pada tahun 1614
selepas tarikh penulisannya yang dimulai pada tahun 1612 Masihi. Sulalatus
Salatin adalah diperakui sebagai satu sumber terkaya dan terlengkap yang
menceritakan tentang sejarah bangsa-bangsa di Nusantara.
KANDUNGAN
SULALATUS SALATIN
Tun Sri Lanang telah menghasilkan sebanyak 15
bab dalam Sulalatus Salatin ini. Dalam setiap bab, dipecahkan pula kepada
beberapa bab-bab kecil mengikut kesesuaian penulisannya. Berikut adalah
perincian sinopsis dalam Sulalatus Salatin :
PERINCIAN
SINOPSIS
Raja Iskandar Zulkarnain dari Makaduniah berperang
dengan Raja Kida Hindi dan kemudian berkahwin dengan Puteri Syahrul Bariah.
Raja Suran turun ke Dika dan berkahwin dengan Puteri Mahtabul Bahri. Hasil
perkahwinan itu, mereka mendapat tiga orang putera iaitu Nila Pahlawan, Krisyna
Pandita dan Nila Utama. Kesemua anak-anak Raja Suran menjadi raja di negeri
masing-masing. Nila Utama menggunakan nama Seri Teri Buana semasa menjadi raja
dan mahu berkahwin dengan puteri Demang Lebar Daun dan diadakan waad di antara
mereka. Seri Teri Buana gemar mengembara sehinggalah berjumpa dengan Singapura.
Badang merupakan seorang hamba yang beroleh gagah setelah memakan muntah hantu
dan akhirnya dimerdekakan oleh tuannya. Merah Silu dan Merah Caga merupakan dua
bersaudara. Merah Silu menahan lukah dan mendapat cacing gelang yang apabila
direbus bertukar menjadi emas. Merah Caga ingin membunuh saudaranya itu kerana
merebus cacing tersebut dan akhirnya Merah Silu melarikan diri sehinggalah
bertemu dengan sebuah tempat yang diberikan nama Semundera. Tuan Jana Khatib
datang ke Singapura dan menunjukkan kepandaiannya menilik sepohon batang pinanh
di hadapan istana raja sehingga membuatkan raja murka lalu membunuhnya.
Sultan Muzaffar Syah menceraikan isterinya untuk diberikan kepada Seri Nara
Diraja atas tujuan mendamaikan Melaka dan kemudian berkahwin dengan Puteri
Raden Galuh Cendera Kirana. Hang Tuah difitnah bermukah dengan dayang raja dan
dihukum bunuh. Orang-orang Melaka yang diketuai Tun Perpatih Putih dapat
melihat wajah raja China setelah memakan kangkung yang dibelah tanpa dikerat.
Tun Muhammad membunuh Tun Besar kerana sepak raga terkena destar Tun Muhammad.
Sultan Mansur Syah merajakan Tun Muhammad di Pahang.
Raja Cempa menjumpai seorang budak dalam mayang pinang dan diberi nama Pau Gelang.
Raja Haru mengamuk di Pasai setelah surat yang bertulis “salam” disebut
“sembah”. Selepas Telanai Terengganu pulang, Sultan Muhammad menitahkan Seri
Akar Raja membunuh Telanai itu. Sultan Muhammad Syah mengganggu isteri Tun
Biajid dan hampir-hampir dibunuh oleh Tun Biajid. Seri Wak Raja ingin membunuh
Tun Isap tetapi Sultan Mahmud menyuruh Tun Isap melarikan diri. Bendahara Putih
mati dan digantikan dengan Bendahara Seri Mahara Tun Mutahir. Sultan Mahmud
menitahkan pembesar untuk meminang Puteri Gunung Ledang dan muncul seorang tua
memberitahu syarat-syaratnya.
Setelah Seri Wak Raja pulang dan memberitahu tentang kecantikan Tun Teja,
Sultan Mahmud mahukan Tun Teja meskipun ketika itu menjadi tunangan orang. Hang
Nadim berjaya melarikan Tun Teja. Laksamana Khoja Hasanpergi ke Pahang dan
berjaya melarikan gajah Ai Kening. Sultan Mahmud Raja Zainal dibunuh dan tugas
ini disempurnakan oleh Hang Berkat. Raja Legor ingin menyerang Pahang atas
suruhan Raja Siam. Tun Perpatih Hitam dan Tun Hussain dibunuh kerana bersikap
biadap di hadapan raja. Maulana Sadar Jahan datang ke Melaka dan Sultan Mahmud
telah berguru dengan beliau.
Bendahara Seri Maharaja telah mengahwinkan anaknya dengan Tun Ali. Nina Sura
Dewana memberi rasuah kepada Bendahara Seri Maharaja dan ini telah dilihat oleh
Si Kitul. Si Kitul membuat fitnah bahawa Bendahara Seri Maharaja mahu membunuh
Raja Mendaliar. Peringgi telah menyerang Melaka di bawah pimpinan
Alfonso d'Albuquerque tetapi serangan kali pertama gagal. Berlaku pertempuran
hebat antara tentera Peringgi dengan orang-orang Melaka. Peringgi menyerang
Bintan dan Sultan Mahmud terpaksa berundur hingga ke Kampar.
Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah ditabalkan
menjadi raja selepas kemangkatan Sultan Mahmud Syah dan baginda meninggalkan
Kampar menuju ke Pahang dan berkahwin dengan Raja Kesuma Dewi, anak Sultan
Mansur Syah. Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah membuka sebuah negeri di Kuala
Johor. Raja Omar, iaitu cucu Sultan Mansur Syah di Pahang berkahwin dengan Raja
Fatimah, anak Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah. Sultan Muzzafar Syah menggantikan
Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah yang mangkat dan baginda membuka sebuah negeri
bernama Seluyut. Raja Omar menceraikan isteri pertamanya setelah Raja Fatimah
hamil. Sultan Muzaffar Syah pula jatuh hati dan berkahwin dengan bonda Raja
Mansur. Kemangkatan Sultan Muzaffar digantikan oleh Sultan Abdul Jalil Syah.
SUMBER
A.Samad Ahmad (2008). Edisi pelajar:
sulalatus salatin sejarah melayu. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Terima kasih atas info. ;-)
ReplyDeleteSama-sama. Semoga perkongsian ilmu ini membawa manfaat buat kita semua. ^-^
ReplyDelete