Wednesday 16 April 2014

KARYA AGUNG - BUKU

Hikayat Abdullah Munsyi




              

            Selesai dikarang pada 3 Mei 1843 di Kampung Melaka, Singapura, pada zaman dunia Melayu menghadapi cabaran ekonomi, politik dan budaya yang luar biasa dari Barat (Eropah). Abdullah Munsyi dianggap sebagai pengkritik sosial zamannya yang cuba membawa wawasan baharu supaya orang Melayu mengubah acuan fikiran dan kepercayaan lama yang tidak progresif. Beliau menjadi tokoh yang memperkenalkan genre autobiografi dan genre jurnalistik dalam sejarah kesusasteraan Melayu. Buku ini mengisahkan pengalaman hidupnya sepanjang berada di Melaka dan Singapura, yang merupakan beberapa catatan sejarah yang amat penting.


Hikayat Hang Tuah




                Dikarang sekitar tahun 1641-1736. Satu-satunya epik Melayu yang melakar cita-cita, kebolehan, dan sikap hidup orang Melayu pada suatu zaman. Hang Tuah mewakili keunggulan citra Melayu sebagai bangsa yang berbudaya dan bertamadun dengan menonjolkan sifat-sifat bangga diri, keberanian, kepintaran dan budi bahasa halus, yang mendapat penghormatan dan pengiktirafan daripada bangsa dan kerajaan asing, yakni sumber hubungan luar ketamadunan Melayu pada zaman prapencerobohan Portugis di Melaka. Pengarang mengakhiri karyanya dengan meninggalkan semangat yang kekal dalam minda Melayu hingga hari ini : “Takkan Melayu hilang di dunia”.



HIKAYAT INDERAPUTRA





            Sebuah karya agung Melayu genre cerita lipur lara yang terkenal dan tersebar luas pada abad ke-17 hingga ke-19, terbukti dengan terdapatnya naskhah karya ini dalam versi-versi Aceh, Jawa, Lombok, Bugis, Makasar, Cam dan Mindanao. Inderaputera, watak utama hikayat ini, diandaikan sebagai seorang pengembaraan sufi mencari kebenaran Ilahi. Di samping kisah percintaan dan pengembaraan, karya ini merupakan sebuah karangan yang penuh dengan nada mengajar dan sebuah epik yang menyanjung seorang wira yang berjaya melepasi pelbagai rintangan sebelum mengasaskan dinasti raja tempatan.



HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA


            Hasil penulisan sejarah tradisional, terkarang pada sekitar tahun 1800-an, yang menyumbang keterangan tentang asal usul keturunan raja-raja Kedah daripada mitos dan legenda. Penulisan ini menyatukan mitos dan realiti sejarah, antaranya pemberontakan rakyat menentang Raja bersiung, kisah Raja Buluh Betung, perhubungan kerajaan Kedah dan Siam, proses pengislaman raja Kedah dan lain-lain.


HIKAYAT RAJA PASAI



            Kemungkinan dikarang dalam jangka masa dari tahun 1211-1400. Mencakupi suatu zaman dalam sejarah Pasai, Sumatera Utara. Di situ agama Islam mula-mula bertapak pada abad ke-13. Walaupun hikayat ini mengandungi unsur-unsur bersifat mitos setempat tetapi terdapat juga yang didasarkan kepada fakta sejarah, yang dibuktikan dengan penemuan nisan Malikul Salih (nama yang diberikan kepada Merah Silau sesudah memeluk Islam). Karya ini memaparkan kisah kelahiran dan kejatuhan sebuah kerajaan Melayu yang dapat dijadikan pengajaran untuk generasi akan datang.


TUHFAT AN-NAFIS



            Menceritakan sejarah Kerajaan Riau-Lingga, sebuah kerajaan Melayu selepas kejatuhan kerajaan Kesultananan Melaka. Menurut pengkaji, karya ini merupakan karya sejarah Melayu yang paling kompleks dan canggih antara semua karya Melayu yang dikarang sebelum abad ke-20. Latar peristiwa meliputi jangka waktu dari awal abad ke-17 hingga pertengahan abad ke-19. Dari segi geografi, Tuhfat al-Nafis meliputi kerajaan Melayu di Semenanjung Melayu, Kalimantan Barat, Sulawesi Selatan, dan BetawI.


HIKAYAT ACEH



            Dihasilkan pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Aceh (1606-1636) sewaktu berlakunya pertumbuhan fikrah dan wacana ilmu yang pesat dalam sejarah dan kesusasteraan Melayu. Aceh merupakan pusat tamadun Melayu-Islam yang besar dan kuat selepas kejatuhan Melaka pada tahun 1511. Dalam hikayat ini pembaca dapat melihat sejarah kebesaran kerajaan Melayu-Islam Aceh pada zaman itu, perhubungannya dengan dunia luar, khususnya dengan negeri-negeri dari dunia Asia-Barat, pertembungannya dengan kuasa-kuasa luar dari Eropah (Portugis dan Belanda).  Karya ini dikarang dalam bahasa Melayu, bukan dalam bahasa Aceh atau bahasa Arab, membuktikan bahawa bahasa Melayu menguasai rantau ini dalam pertumbuhan kegiatan penulisan dan pemikiran yang luar biasa hasil tamadun yang tinggi.


HIKAYAT PANJI JAYENG KUSUMA




             Hikayat Panji Jayeng Kusuma (HPJK) merupakan sebuah cerita panji yang ditulis dalam bahasa Melayu. Unsur-unsur utama yang diketengahkan dalam buku ini ialah percintaan, pengembaraan dan peperangan. Percintaan dalam HPJK berlangsung antara anak-anak raja dari beberapa buah kerajaan, seperti Kuripan, Daha, Gagelang, Singasari, Manjapahit (Majapahit) dan Lasem. Semua anak raja ini telah ditunangkan sesama mereka sejak kecil lagi. Raden Inu Kerta Pati, sebagai wira dalam cerita ini telah ditunangkan dengan Raden Galuh Candera Kirana, wirawatinya. Namun, akibat tersilap mendapat gambaran tentang rupa paras Raden Galuh Candera Kirana, Raden Inu Kerta Pati telah memutuskan pertunangan mereka, sebaliknya berkahwin pula dengan anak raja Singasari, Raden Galuh Lasmi Ningrat. Walau bagaimanapun, Raden Inu Kerta Pati akhirnya mengetahui rupa paras sebenar Raden Galuh Candera Kirana selepas berangkat ke Daha untuk menghadiri perkahwinan Raden Galuh Candera Kirana. Raden Inu berazam untuk mengambil semula tunangnya itu, tetapi gagal apabila Raden Galuh Candera Kirana menghilangkan diri. Ekoran daripada peristiwa itu bermulalah pengembaraan mereka mencari Raden Galuh Candera Kirana. Sepanjang pengembaraan ini, berlaku pelbagai peristiwa yang menarik seperti peperangan, penjelmaan, penyamaran dan sebagainya.

Diperoleh daripada http://ilmu.edublogs.org/karya-karya-agung/


No comments:

Post a Comment