Thursday 10 April 2014

Retorik & Gaya Bahasa

RETORIK

Istilah retorik berasal daripada perkataan Greek "tenhne rhetorike" yang bermaksud seni pertuturan. Peringkat awal kemunculannya lebih kurang abad ke-5 sebelum Masihi. Retorik merupakan satu disiplin kemahiran berucap sebagai satu cara pemujukan. Namun perkembangan disiplin ini membawa pengertian yang lebih luas. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), retorik bermaksud teknik pemakaian bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mepengaruhi pemikiran pembaca dan pendengar.

Menurut Asmah Omar (1998) dalam Sobariah Baharum (2010) retorik bermakna kajian tentang penggunaan bahasa secara berkesan. Berdasarkan konteks yang sesuai retorik juga dapat diertikan sebagai keupayaan menggunakan bahasa yang berkesan, atau ciri-ciri yang berkesan dalam bahasa. Retorik menyentuh hal yang berkaitan dengan cara menyampaikan pendapat, idea, dan saranan, atau cara menghuraikan sesuatu wahana kepada penulis untuk mempersembahkan pemikirannya, tanggapannya atau perasaannya dengan jelas melalui gaya yang berkesan.

Terdapat enam jenis retorik yang dikemukakan oleh Abu Hassan Abdul (2013), iaitu retorik pemerian, pemujukan, pendedahan, penghujahan, penceritaan dan penerangan. Manakala, Nazirah Ismail dan Sanat Md Nasir dalam Rogayah A. Hamid dan Mariyam Salim (2006) menjelaskan RPL mengandungi lima fakulti atau prinsip, iaitu fakulti reka cipta, susunan, ingatan, gaya dan penyampaian. Ciri utama dalam RPL ialah penggunaan bahasa untuk tujuan beribadah. Justeru, jika retorik dikenali sebagai alat untuk memujuk sebagaimana retorik klasik dan alat untuk mencapai keberkesanan penyampaian sebagaimana retorik moden, ciri tersebut akan dianggap serasi dan dikira sebagai ciri RPL. Oleh hal yang demikian, analisis retorik dalam hikayat ini akan berlandaskan retorik daripada dua sumber yang telah dinyatakan.

Retorik Pemerian

Pemerian menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), ialah perihal memerikan (mengisahkan), pengisahan, penjelasan, penerangan, dan penghuraian. Penulisan pemerian sering diaplikasikan dalam pelbagai genre penulisan. Dalam penulisan jenis ini, tujuan penulis adalah untuk menggambarkan sesuatu. Misalnya penulis ingin memberi gambarakan kepada tentang sesuatu pemandangan, kejadian, benda, atau seseorang watak (Abu Hassan Abdul : 2013). Dalam Hikayat Pandawa Lima, pengarang telah memberikan gambaran betapa cantiknya, wajah Siti Sundari yang terdapat pada halaman ke-20.

Adapun akan Siti Sundari itu terlalu amat baik parasnya. Umurnya sedang remaja puteri dan mukanya pun seperti bulan purnama. Pada ketika cuaca bulan pun tiada terbit, katanya,"... Maka kijang pun tiada melengkatkan lehernya lagi katanya, "Lebih baik leher Siti Sundari. Jikalau aku berkuntum pun manis juga rupanya Siti Sundari daripada aku." Maka bunga pandan pun tiada berkelopak katanya, "Lebih betis Dewi Siti Sundari itu lebih indah daripada aku."...
(Hikayat Pandawa Lima : m/s 4)

Berdasarkan contoh petikan teks yang diambil daripada Hikayat Pandawa Lima, pengarang sangat kreatif dalam memerihalkan watak-watak yang terdapat dalam hikayat ini. Walaupun, pengarang menggambarkan watak-watak ini secara berlebihan dan kadang kala tidak masuk dek akal bagi khalayak pembaca tetapi gambaran ini sesuai bagi sesebuah teks karya agung. Hal ini demikian kerana Seri Lanang Jaya Hj Rohani et.al (2013) menjelaskan karya agung ialah karya ulung yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran atau psyche dan ingatan bersama bangsa itu sepanjang sejarahnya.

Retorik Pemujukan

Abu Hassan Abdul (2010) menjelaskan retorika pemujukan dikenali juga sebagai retorika pengaruhan. Hal ini demikian kerana dalam retorik ini, penulis berusaha untuk mengubah dan mempengaruhi pemikiran, keyakinan dan pandangan pembaca. Retorik pemujukan mementingkan kehalusan berbahasa dengan menyelitkan unsur-unsur psikologi serta perbandingan kebaikan dan keburukan untuk mempengaruhi khalayak. Hal ini dilakukan supaya orang yang dipujuk menyetujui dan dapat menerima sesuatu yang dikemukakan dan mengikut kemahuan pihak yang melakukan pemujukan. Salah satu ciri dalam retorik ini, pengarang akan memainkan emosi pembaca.

Pengarang berharap pembaca akan mengikut kehendaknya melalui cara pengarang memanipulasi emosi khalayak. Antara perasaan yang sering dieksploitasi oleh pengarang termasuklah perasaan takut, belas kasihan, rasa bersalah, megah, malu, sayang dan sebagainya. Contohnya, dalam Hikayat Pandawa Lima ini, retorik pemujukan ini dapat dilihat dalam petikan berikut:

... "Apa sebabnya maka adinda menangis ini." Maka kata Sakula dan Sadewa. "Maka beta menangis daripada sangat lapar perut beta." Setelah Dewi Banuwati mendengar kata Sakula dan Sadewa itu, maka terlalu kasihan rasa hatinya Dewi Banuwati memandang kelakuan Sakula dan Sadewa itu. Maka Dewi Banuwati pun menyuruh dayang-dayang membawa nasi.
(Hikayat Pandawa Lima : m/s 4)

Berdasarkan contoh petikan di atas, pengarang cuba memujuk dan mempengaruhi emosi pembaca supaya turut berasa sedih. Pembaca akan berasa sedih dengan situasi yang pengarang gambarkan apabila dua orang budak yang menangis kerana lapar, emosi pembaca akan berasa sedih dan kasihan terhadap Sakula dan Sadewa. Oleh hal yang demikian, penggunaan retorik pemujukan yang dilakukan oleh pengarang sudah berjaya apabila pembaca melahirkan perasaan sedih dan kasihan seperti yang dikehendaki oleh pengarang.

Retorik Penceritaan

Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) mendefinisikan penceritaan, ialah perihal menceritakan sesuatu perkara. Retorik penceritaan atau turut dikenali retorik naratif bermaksud menyampaikan sesuatu cerita, iaitu menghubungkan beberapa siri peristiwa berkaitan dalam satu plot yang logik. Retorik jenis ini digunakan dalam penulisan cerpen, novel, autobiografi, biografi, lipur lara, hikayat, dan sebagainya. Penulisan penceritaan terbentuk daripada bahagian permulaan, perkembangan, cerita, konflik dan peleraian sehingga terhasil satu kesatuan. Retorika ini mengandungi empat prinsip yang bertalian, iaitu kesatuan, pertautan, penekanan dan gaya bahasa yang menarik, Abu Hassan Abdul (2010).


Abu Hassan Abdul (2010) menjelaskan kesatuan dalam sesuatu penceritaan merupakan tema, iaitu aspek yang mewujudkan kesatuan idea dalam cerita yang digarapkan oleh pengarang. Pertautan pula merupakan jalinan perkembangan atau pembinaan cerita yang lebih dikenali sebagai plot. Penekanan merujuk kepada pemilihan dan penyusunan peristiwa yang dapat menarik minat khalayak. Seterusnya gaya bahasa merupakan pemakaian bahasa yang digunakan oleh pengarang untuk melengkapkan tema dan persoalan dan sebagainya yang ingin dihasilkan dalam cerita atau karyanya. (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2007).

Dalam Hikayat Pandawa Lima ini, retorik jenis penceritaan ini dapat dilihat dalam peristiwa Maharaja Duryudana yang ingin kelima-lima Pandawa itu meninggal, Pandawa tersebut ialah Maharaja Darmawangsa, Sang Bima, Sang Rajuna, Sakula dan Sadewa. Hal ini demikian kerana, Maharaja Duryudana berasa sakit hati dan malu dengan kelakuan kelima-lima Pandawa tesebut. Jadi, Maharaja Duryudana telah berbincang dengan Dangyang Drona cara untuk menghapuskan kelima-lima orang Pandawa tersebut. Dangyang Drona telah memberikan cadangan supaya membawa kelima-lima pandawa ke tepi sungai "Mahadradibatil" yang merupakan lubuk naga Arda Leka. Pengarang telah menyusun tema ceritanya, iaitu ingin membunuh kelima-lima saudara Pandawa itu. Kemudian menyusun plot dengan menjatuhkan satu anak panah ke dalam sungai dan meminta Pandawa untuk mengambil anak panah tersebut yang dimulakan dengan Maharaja Darmawangsa menyelam kemudian di telan naga dan diikuti oleh saudaranya yang lain. Contohnya, dapat dilihat dalam petikan teks berikut :

Setelah keesokan harinya, maka Maharaja Duryudana pun berangkatlah segala Korawa. Setelah datang ke tepi sungai itu, maka ... Maka titah Maharaja Duryudana pada Bambang Sutomo, "Panah oleh tuan hamba ke lubuk itu supaya ibu naga Arda Leka itu mati."...Setelah demikian, maka Maharaja Darmawangsa pun pergilah menyelam ke dalam lubuk naga itu. Maka kata Dangyang Drona kepada Sang Bima dan Sang Rajuna dan Sadewa dan Sakula, "Datang hatikah tuan hamba memberikan saudara tuan hamba seorang menyelam ke dalam lubuk itu. " ...  Maka kata Sang Rajuna ,kepada Sang Bima dan Sakula dan Sadewa, " Marilah kita menyelam ke dalam lubuk itu kerana Maharaja Darmawangsa sudah ditelan oleh naga itu. Biarlah kita mati sama-sama dengan baginda itu, supaya kita kelimanya bersaudara ini seperti telur pecah sesarang timpa batu pecah semuanya demikianlah, kerana kita anak Pandu Dewanta. Jikalau mati seorang mati semuanya. Jikalau baik seorang baik semuanya.
(Hikayat Pandawa Lima : m/s 6, 7)

Pengarang cuba menceritakan kejadian atau peristiwa kematian Pandawa ini sehingga pembaca seolah-olah mengalami sendiri peristiwa tersebut. Sebagai hiasan dalam penceritaan, pengarang menggunakan pelbagai gaya seperti dialog, saspens, dan gaya bahasa sebagai penawar kepada kebosonan teks.

Penceritaan kematian Sang Bima

..." Tahanlah anakku baik-baik." Maka Sang Bima pun dipalunya oleh Begawan Narada kena bahunya. Maka terlalulah sakit dirasanya oleh Sang Bima. Maka kata Sang Bima, " Tiadakah sudah aku berpesan perlulah dibawah telingaku ini." Akan sekarang mengapatah maka engkau memalu bahuku." Maka kata Begawan Narada , "Hai anakku, kerana aku tiada sengaja. Kalau-kalau ada dosamu mematahkan orang, sebab inilah maka jadi demikian adanya ini." Banyaklah aku mematahkan... Maka kata Begawan Narada, " Sebab itulah, hai anakku maka dibalaskan oleh Dewata Mulia Raya ini kepadamu." ... itu pun tersalah pula kena pinggangnya Sang Bima itu lalu patah. Maka Sang Rajuna pun hairanlah melihat kematian Sang Bima itu terlalu sengsara. ... Maka dipalu oleh Begawan Narada kena bahunya dan dibawah telinganya Sang Bima. Maka Sang Bima pun matilah.
(Hikayat Pandawa Lima : m/s 278, 279)

Pengarang telah menceritakan kisah kematian kelima-lima Pandawa dan berdasarkan cara kematian tersebut, dapat disimpulkan bahawa setiap yang hidup menemui jalan kematian yang berbeza, ada yang mudah dan sukar. Contohnya, seperti Sang Bima yang kematiannya begitu tersiksa disebabkan kesilapannya di dunia yang banyak membunuh orang, berbanding dengan saudaranya yang lain. Oleh hal yang demikian, peristiwa kematian ini secara tidak langsung memberikan makna kepada pembaca supaya dalam kehidupan di dunia haruslah mengerjakan kebaikan dan meninggalkan perkara yang buruk. Kematian kelima-lima Pandawa juga menunjukkan kisah penceritaan hikayat tersebut sudah sampai ke penamatnya.

Gaya Bahasa

Nazirah Ismail dan Sanat Md. Nasir dalam Rogayah A. Hamid dan Mariyam Salim (2006) gaya dilihat sebagai hiasan pemikiran. Dalam bahasa Latin, gaya disebut sebagai elocutio yang bermaksud ujaran dan ekspresi. Tanpa gaya, karangan hidup semata-mata sebagai perkataan di atas kertas tanpa nilai keindahannya.

Walau bagaimanapun, gaya yang serasi dengan RPL perlulah bergantung kepada tujuan penggunaannya. Corbett (1972) dalam Rogayah A. Hamid dan Mariyam Salim (2006) membahagikan gaya kepada dua, iaitu skema dan trope. Skema yang dimaksudkan ialah penyusunan kata-kata yang menyimpang daripada bentuk atau susunan yang lazim yang melibatkan skema seimbang, skema hiperbaton, skema pengguguran dan skema perulangan. Trope atau dikenali juga majaz pula ditafsirkan sebagai perubahan kata atau susunan ayat daripada bentuk maknanya kepada makna lain, suatu bentuk gaya bahasa, seperti metafora, simili dan sinekdot.

Dalam Hikayat Pandawa Lima, pengarang menggunakan kepelbagaian gaya untuk memberikan keindahan bahasa kepada pembaca. Terdapat beberapa contoh gaya bahasa yang digunakan oleh pengarang yang dapat dikesan oleh pengkaji seperti skema seimbang dan trope (majaz pertentangan).

i.          Skema seimbang

Abu Hassan Abdul (2013) menjelaskan skema seimbang merujuk kepada perubahan bentuk atau susunan sesuatu perkataan secara seimbang yang mengahsilkan kesan makna yang berbeza. Terdapat tiga teknik dalam skema ini, iaitu paralelisme, antitesis dan isokolon. Contoh paralelisme dalam Hikayat Pandawa Lima adalah seperti berikut :

Syahadan maka Sang Bimanyu itu seperti orang gila rupanya ... Maka segala binatang dalam hutan pun habis terkejut. Maka segala harimau dan badak dan singa, beruang, babi, kijang ...
(Hikayat Pandawa Lima : m/s 37)

ii.         Majaz (trope) pertentangan

Majaz pertentangan yang kerap ditemui pengkaji dalam Hikayat Pandawa Lima, ialah hiperbola. Abu Hassan Abdul (2013) menjelaskan hiperbola ialah penggunaan istilah yang membesar-besarkan dengan tujuan memberi penekanan atau kesan memperhebat. Contohnya adalah seperti berikut :

... Maka dilihat oleh Dewi Satyawati pada medan itu darah seperti laut, bangkai manusia yang bertimbun-timbun itu seperti pulau...
(Hikayat Pandawa Lima : m/s 175)



SUMBER:
Abu Hassan Abdul (2010). Seni Mengarang BMK 3043. Tanjong Malim : Universiti Pendidikan
Sultan Idris.

Khalid M. Hussain (1992). Hikayat Pandawa Lima. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan
Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rogayah A. Hamid dan Mariyam Salim (2006). Kesultanan Melayu Kelantan. Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et.al (2013). Penghayatan Karya Agung Melayu KRB 3063. Malim :
Pusat Pendidikan Luar.

                                               






No comments:

Post a Comment