Idealisme dan falsafah merupakan dua elemen sastera yang saling
bertentangan. Penggunaan kedua-dua elemen ini ke dalam sesuatu karya sastera,
iaitu karya agung khususnya amat popular dalam kalangan pengkarya-pengkarya
satu ketika dahulu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, idealisme bermaksud
sifat melihat atau mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal (2010: 558).
Menurut W.F Hocking pula, idealisme merupakan realiti yang terdiri daripada
idea-idea, fikiran-fikiran, akal (mind) atau jiwa (selves) dan
bukanlah kekuatan atau kebendaan. Berdasarkan pendefinisian tersebut, jelas
menunjukkan bahawa idealisme memerlukan daya imaginasi yang tinggi dan kreatif
untuk menghasilkan sesuatu bentuk karya sastera.
Bagi maksud falsafah pula, ia
dimaksudkan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu
yang tertinggi yang menjadi dasar kepada ilmu-ilmu yang lain (Kamus Dewan Edisi
Keempat, 2010: 406). Ilmu yang dimaksudkan tersebut adalah pengetahuan yang
amat luas kepada sesuatu bentuk hakikat yang mendasari kepada semua ilmu
berkaitan dengan hal tersebut. Bagi Hashim Hj. Musa pula, falsafah disifatkan
oleh beliau sebagai kajian secara renungan dan spekulatif terhadap punca,
keadaan dan sifat seluruh pengetahuan manusia yang menjadi sari pati bagi
seluruh bidang pengetahuan manusia. Pentakrifan yang dibuat oleh tokoh Melayu
ini masih lagi berkisar mengenai cakupan keseluruhan ilmu dan bidang tentang
pengetahuan manusia.
Kedua-dua elemen ini diadaptasikan oleh
tokoh-tokoh sastera ke dalam karya mereka untuk memperjelaskan lagi tujuan dan
idea yang ingin disampaikan dalam sesuatu karya agung itu. Hal ini demikian
kerana, elemen-elemen tersebut amat sesuai dan bertepatan dengan kehendak
pembaca. Dalam pada itu, para pengkarya itu juga menerapkan kedua-dua elemen
ini agar para pembaca dapat membuat penganalisisan tentang sesuatu karya
tersebut dengan lebih mudah.
Jelaslah bahawa penerapan idelisme dan
falsafah dalam sesuatu karya agung amat diperlukan dalam pengoperasian sesuatu
karya agung. Dalam pembicaraan yang dilaksanakan tertumpu kepada empat, iaitu
idealisme bersumberkan alam, falsafah bahasa, falsafah Islam dan falsafah
Melayu.
*Idealisme Bersumberkan Alam
Sesebuah karya seharusnya memiliki falsafah, pemikiran dan persoalan yang
agung dan penting. Hal inilah yang disebutkan oleh tokoh pengkritik karya
sastera, Greek Dionysus Cassius Longinus. Hal ini membuktikan bahawa sesebuah
karya sastera, terutamanya karya agung pasti memiliki ciri pemikiran tertentu
yang juga disebut sebagai idealisme. Seterusnya, idealisme yang akan
dibincangkan dalam karya agung Melayu adalah idealisme karya yang bersumberkan
alam. Perbincangan berdasarkan idealisme yang bersumberkan alam ini dapat
dikategorikan kepada beberapa pecahan, misalnya berkaitan tumbuh-tumbuhan,
haiwan, angkasa, sosialisasi dan sebagainya. Kehidupan manusia tidak lari
daripada alam, malah banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan sebagai
seorang manusia sering dikaitkan dan diumpamakan dengan alam ciptaan Tuhan,
tidak kira dari segi tumbuhan, haiwan, angkasa, lautan mahupun hubungan antara
masyarakat, iaitu sosialisasi.
Hal ini banyak diungkapkan dalam karya-karya agung Melayu klasik. Mortimer
Jerome Adler menyatakan, berdasarkan isu utama berkenaan tumbuh-tumbuhan,
haiwan dan manusia sebagai bentuk hidupan yang berkesinambungan atau jelas
berbeza, maka kajian organisma haiwan – anatomi dan fisiologinya – memperoleh
banyak kepentingannya (2007: 12). Bukan sahaja pada satu bahagian,
malah pada ketika menulis manusia juga tidak dapat lari dari dikaitkan dengan
alam.
*Falsafah Bersumberkan Islam
Falsafah karya agung terutamanya karya agung dunia Melayu turut diilhamkan
oleh pengarangnya melalui agama Islam yang menjadi pegangan agama majoriti
bangsa Melayu. Hal ini dibuktikan melalui sebuah buku daripada Yayasan Karyawan
(2000: 13) yang menyatakan tiga faktor utama terhasilnya karya agung Melayu
iaitu; a) kekuatan bahasa Melayu, b) pengaruh Islam, dan c) peranan istana dan
sekolah pondok. Hal ini membuktikan bahawa falsafah yang terdapat dalam karya
agung terdapat juga yang bersumberkan Islam, iaitu memperlihatkan keislaman
dalam penghasilan karya.
Setelah pengaruh agama Hindu menjadi pudar dalam diri masyarakat Melayu,
munculnya Islam di dalam dunia Melayu. Sekitar abad ke-12 dan ke-13, beberapa
buah kerajaan Melayu-Islam telah ditubuhkan di Perlak (Pasai). Perkara ini
menyebabkan berakhirnya pengaruh kerajaan Melayu-Srivijaya yang pada masa
tersebut masih dalam kekuatan pengaruh Hindu. Agama Islam seterusnya disebarkan
secara meluas, bukan sahaja dalam kalangan alim ulama’ tetapi juga turut disebarkan
kepada rakyat.
Pada ketika ini dikatakan masyarakat Melayu masih menggunakan bahasa lisan
sehinggalah tiba suatu ketika apabila masyarakat Melayu sudah mula mempelajari
abjad Arab untuk menulis bahasa Melayu. Dengan bermulanya perkembangan tulisan
ini, bermulanya suatu zaman baru dalam dunia Melayu, iaitu zaman perkembangan
ilmu dan pemikiran yang didasarkan kepada ajaran agama, iaitu tauhid dan
pandangan Islam sejagat. Hal ini juga dapat dikaitkan dengan istana kerajaan
Melayu-Islam pada zaman tersebut yang menjadi pendukung kepada kegiatan
penulisan yang membentuk warisan bangsa.
Kitab al-Qur’an merupakan sumber utama kepada falsafah Islam kerana
al-Qur’an adalah kitab petunjuk dan rahmat buat sekalian alam. Mohd Rashid Md
Idris ada menyatakan bahawa al-Qur’an itu adalah kitab yang Haq dari yang maha
Haq, tiada keraguan, tiada kebengkokan, tiada kesilapan dan kesalahan, tiada
percanggahan dan pertentangan, kitab yang terpelihara, kitab yang diberkati,
kitab yang menjadi cahaya dan penghidup jiwa, kitab yang menjadi penjelas dan
penerang, kitab yang menjadi penawar dan pengubat jiwa, dan kitab yang menjadi
pemutus kata (2007: 53).
Hal ini membuktikan bahawa Islam dan falsafahnya memberikan seratus peratus
keyakinan kepada penganut agamanya. Hal ini juga menyebabkan masyarakat
Melayu-Islam sejak dahulu sangat yakin akan kebaikan menurut ajaran seperti
yang dinyatakan dalam agamanya. Dengan itu, tidak hairanlah di dalam penulisan
pengkarya klasik dahulu kala terutamanya mereka yang beragama Islam seperti Nuruddin
al-Raniri, Tun Sri Lanang, Raja Ali Haji, Munshi Abdullah dan tokoh-tokoh yang
lain suka untuk mencetuskan pemikiran berasaskan falsafah Islam dalam karya
mereka.
Hal ini dapat dilihat dalam contoh yang terdapat dalam penghasilan karya
Sulalat al-Salatin karya Tun Sri Lanang. Agama Islam menyarankan seseorang
rakyat untuk mentaati pemerintahnya selagi pemerintah tersebut tidak berlaku
zalim. Kesetiaan seorang rakyat kepada sultan ini dibuktikan melalui
penghasilan karya Sulalat al-Salatin yang merupakan titah sultan kepada seorang
pengarang, iaitu Tun Sri Lanang. Titah tersebut dinyatakan dalam karya Sulalat
al-Salatin yang berbunyi;
“diperbuatkan hikayat [….] perteturun segala raja-raja Melayu dengan
istiadatnya, supaya didengar oleh anak cucu kita yang kemudian dari kita dan
diketahuinyalah segala perkataan, syahadan beroleh faedahlah mereka itu
daripadanya”
(Sulalat al-Salatin, edisi Karya Agung, 1993: 3)
Pengarang menunjukkan ketaatan dengan menjunjung perintah sultan yang
membawa kepada keberlanjutan warisan sejarah bangsa kepada generasi
terkemudian. Hal ini dibuktikan melalui tulisan pengarang dalam kitab ini juga,
iaitu;
“Maka fakir karanglah hikayat ini [….] dan fakir himpunkan daripada segala
riwayat orang tuha-tuha dahulu kala supaya akan menyukakan duli hadhrat
baginda”
(Sulalat al-Salatin, edisi Karya Agung,
1993: 4)
Selain itu, terdapat juga karya-karya agung lain yang menerapkan unsur
keislaman ini. Misalnya dalam karya Hikayat Abdullah hasil karangan Abdullah
Abdul Kadir Munshi, pendidikannya sedari kecil sangat menitikberatkan hal-hal
keagamaan dan keilmuan. Hal ini dapat dilihat berdasarkan petikan daripada
karya tersebut, iaitu;
“Adapun ilmu dan kepandaian itu menjadi tangga kepada pangkat kekayaan, dan
kekayaan itu membawa kepada kebesaran. Maka bahawasanya segala benda yang
dijadikan Allah dalam dunia itu masing-masing adalah dengan harganya, iaitu
dapat dinilaikan oleh manusia melainkan ilmu itulah sahaja yang tiada ternilai
oleh manusia akan harganya.”
(Hikayat Abdullah, 2004: 19)
Petikan di atas menunjukkan ciri falsafah Islam apabila segala yang
dinyatakan berbalik kembali kepada kepercayaan dan kepatuhan terhadap kata-kata
Allah. Selain itu, menuntut ilmu juga adalah perkara yang sangat dituntut dalam
Islam. Hal ini terbukti melalui kata hikmah yang berbunyi “sesuatu amal
seharusnya didahului dengan ilmu”. Kata-kata ini adalah antara kata-kata yang
ditekankan dalam agama Islam.
*Falsafah Bersumberkan Melayu
Kehidupan masyarakat Melayu tidak boleh terlepas daripada peraturan dan
disiplin. Oleh yang demikian, mereka menerapkan unsur tersebut di dalam karya
mereka. Misalnya, mereka menekankan konsep budi dalam kehidupan mereka. Konsep
budi tersebut pula terbahagi kepada lima, iaitu budi bahasa, budi pekerti, budi
bicara, hati budi dan akal budi (Mohd Rashid Mohd Idris, 2011: 63). Penerapan
unsur-unsur tersebut dapat diperhatikan dalam contoh yang berikut:
1)Budi bahasa
Budi bahasa dan budi bicara yang mulia merujuk kepada pertuturan yang
manis, sopan, positif, bijaksana, bernas dan penuh pengajaran, serta memberikan
sumbangan kepada khalayak dan pendengarnya (Mohd Rashid Idris, 2011: 64).
Contoh penerapan unsur ini dalam karya agung dapat dilihat dalam contoh di
bawah:
“Pada masa itulah wafat Syeikh Syamsuddin al-Sumaterani iaitu pada malam
Isnin 12 haribulan Rejab, pada Hijrah 1039 tahun, bahawa Syeikh itu alim pada
segala ilmu tasawuf dan beberapa kitab yang ditaklifkannya.”
(Sumber: Bustan al-Salatin, 1992)
Ini menunjukkan bahawa Nuruddin adalah seorang individu yang mempunyai budi
bahasa yang tinggi. Hal ini demikian kerana walaupun beliau bertelagah dengan
Syamsuddin, beliau tetap menghormatinya sebagai seorang ulama dan manusia
biasa. Ungkapan yang dinyatakan oleh Nuruddin adalah satu pengiktirafan oleh
beliau terhadap kewibawaan ulama tersebut.
2)Budi Pekerti
Bagi gagasan budi pekerti, ia lebih terarah kepada akhlak seseorang itu.
Namun demikian, unsur kesantunan masih lagi menjadi akar kepada setiap
perlakuan yang dihasilkan oleh seseorang individu itu. Menurut Mohd Rashid Md.
Idris (2011), budi pekerti adalah satu aspek atau tingkah laku seseorang yang
dinilai oleh masyarakat dari sudut baik dan buruk, atau halus dan kasar.
Kelakuan tersebut merangkumi kelakuan yang bersopan-santun, tertib dan
sebagainya. Nilai ini dapat diperhatikan dalam Syair Ken Tambuhan seperti
contoh di bawah:
Jika ia dikasihi raja,
Tiadalah ia melanja-lanja,
Tiadalah menyombong pada bekerja,
Dengan taulannya bersamaan
sahaja.
(Sumber: Syair Ken
Tambuhan)
Dalam petikan di atas, diperlihatkan sifat raja yang mengasihi rakyat dan
melayan mereka sama rata. Hal ini demikian kerana, kebanyakan raja pada zaman
dahulu kebiasaannya mementingkan kedudukan dan memandang rendah terhadap
rakyat. Oleh yang demikian, dalam syair tersebut ditekankan sikap raja yang
amat mengasihi rakyat dengan menunjukkan budi pekerti yang baik.
3)Budi Bicara
Pendefinisian budi yang seterusnya pula lebih cenderung kepada unsur
toleransi dan tolak ansur dalam setiap perbuatan. Hal ini demikian kerana,
kehidupan bermasyarakat yang mementingkan nilai kerjasama bagi mewujudkan
suasana yang harmoni dan aman. Dalam karya agung Syair Ken Tambuhan dinyatakan
bahawa Raden Menteri seorang suami yang sanggup mencari buah pauh janggi
keinginan isterinya yang sedang mengidam. Walaupun hatinya berat untuk
meninggalkan isterinya yang berbadan dua, namun kerana kasih dan kasihan kepada
isterinya, dia sanggup menghadapi sebarang bahaya. Justeru, sewaktu dia
meninggalkan isterinya dan istana, dia berpesan dengan pesanan seperti berikut;
Ia berkata kepada ayah dan bonda,
Puteri sekalian putera anakanda,
Jikalau ada satu bahaya anakanda,
Puteri sekalian putera anakanda.
(Naskah koleksi
DBP: 133/2011)
Petikan yang dinyatakan telah mencerminkan kepada pembaca bahawa nilai budi
bicara ini amat dekat dalam kehidupan masyarakat Melayu pada ketika dahulu.
Malahan nilai ini turut diterapkan dalam kehidupan berkeluarga khususnya.
4)Hati Budi
Hati budi pula bolehlah dikaitkan dengan istilah hati yang baik atau baik
hati. Untuk melahirkan hati yang baik, seseorang itu perlu diasuh sejak kecil
kerana kesucian hati akan menentukan perlakuan yang baik, tingkah laku yang
bersopan dan akan dihindari daripada segala sifat-sifat yang negatif dan buruk.
Aspek ini juga tidak lupa diterapkan dalam karya klasik Melayu. Sebagai contoh,
ia dapat dilihat dalam petikan karya Bustan al-Salatin;
“kemudian dari itu maka kerajaan Sultan Hussain ibn Sultan Alaudin yang
bergelar Sultan Ali Riayat Syah, pada hari ahad, sehari bualn Safar. Ialah
sangat halm perangainya dan pengasih akan segala rakyatnya akan segala ulama,
syfakat akan segala fakir dan miskin.”
(Sumber:
Bustan al-Salatin (selenggaraan) Siti Hawa Hj Salleh, 1992)
Petikan di atas menggambarkan seorang raja yang yang mempunyai hati budi
yang baik yang mana beliau sangat mengasihi rakyat jelatanya walaupun beliau
terdiri daripada golongan raja. Beliau sanggup menderma kepada rakyat yang
memerlukan. Beliau amat mengasihi rakyat jelata sehinggakan segala kesusahan
rakyat diambil tahu.
5)Akal Budi
Pertimbangan akal sangat diperlukan dalam kehidupan seharian. Oleh yang
demikian, melalui pertimbangan akal budi yang mementingkan kewarasan fikiran
ini akan menentukan sikap seseorang itu sama ada mampu untuk bertanggungjawab
dengan setiap perkara yang dilakukannya ataupun tidak. Kebiasaannya dalam
masyarakat dahulu nilai ini sangat dipentingkan supaya seseorang individu itu
mampu untuk mengurus diri, keluarga dan juga masyarakat. Nilai ini ada
diselitkan dalam karya agung yang terdahulu. Contohnya dalam petikan yang
berikut:
Namanya Raden Puspa Kencana,
Lakunya bijak laksana,
Akal bicaranya amat sempurna,
Sifatnya lengkap hamba laksana
(Sumber: Syair Ken Tambuhan, 2002: 5)
Pengarang menerangkan dalam syair tersebut berkaitan watak Raden Puspa
Kencana yang sangat bijak dan cerdik. Hal ini terbukti apabila penyair
menyatakan bahawa tidak ada seorang yang dapat mengalahkan beliau jika diajak
untuk lawan berdebat. Nilai ini diselitkan dalam syair tersebut supaya mereka
mencontohi sikap Raden Puspa Kencana yang bijak bagi mengelakkan diri daripada
ditindas oleh orang lain.
*Falsafah Bahasa
*Konsep
Falsafah bahasa merupakan gabungan dua perkataan, iaitu falsafah dan
bahasa. Namun kedua-dua entiti ini membawa kepada pemaknaan yang berbeza sama
sekali. Falsafah merupakan gabungan dua kata, iaitu istilah Yunani philo (cinta)
dan sophos (hikmat). Kebenaran dan keutamaan kata yang dibawa oleh
Phytogras ini dapat disimpulkan sebagai pencinta kebijaksanaan. Bagi
pendefinisian bahasa pula, merujuk kepada sistem lambang dan bunyi suara yang
dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (Kamus
Dewan Edisi keempat, 2010: 106).
Bagi Von Humboldt, iaitu seorang sarjana Jerman bahasa didefinisikan
sebagai sintesis bunyi (dalam Mohd Rashid Md Idris, 2012: 8). Melalui
pentakrifan yang dibuat dapat dinyatakan kesimpulan bahawa bahasa adalah satu
medium yang diguna pakai oleh masyarakat untuk menyampaikan konsep atau lebih
tepat lagi untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Namun demikian,
penggabungan kedua-dua elemen ini dapat membawa kepada sesuatu bentuk
pengetahuan yang lebih unggul. Menurut Hashim Hj, Musa (1996), bidang falsafah
terbahagi kepada dua bahagian, iaitu falsafah linguistik dan falsafah bahasa.
Pembicaraan tentang falsafah linguistik merangkumi kepada cakupan dasar
falsafah dalam konsep dan istilah linguistik. Hal ini merujuk kepada penelitian
tentang kaedah dan amalan yang digunakan oleh ahli-ahli linguistik deskriptif
dalam disiplin mereka (Mohd Rashid Md Idris, 2012: 9). Bagi falsafah bahasa
pula, aspek ini meneliti dan memeriksa berasaskan falsafah pengetahuan yang
dipanggil conceptual knowledge atau ilmu dalam bentuk konsepsi, yang
wujud dalam fikiran secara ilmu (knowledge), logik dan sebagainya.
Oleh hal yang demikian, dapat dirumuskan bahawa falsafah bahasa merupakan
bidang yang menelusuri tentang sesuatu aspek bahasa dengan menggunakan konsep
pengetahuan dan penggunaan dasar yang lebih mendalam bagi mencari kebenaran
dalam setiap aspek yang ingin dikaji.
*Teori Falsafah Bahasa
Dalam falsafah bahasa ini, terdapat satu gagasan teori yang dikaji oleh
Mohd Rashid Md Idris, iatu teori falsafah bahasa yang menggabungkan dua teori
lain. Teori yang dimaksudkan adalah teori relatif dan teori kenuranian bahasa.
Menurut beliau, manusia mempunyai bahasa dan dapat berfikir tetapi binatang
tidak, kecuali dalam bentuk yang amat primitif dan erat hubungannya dengan
naluri binatang tersebut. Beliau menegaskan bahawa manusia dianugerahi Allah
S.W.T dengan bahasa dan akal semata-mata untuk mengangkat martabat manusia
sebagai makhluk ciptaan yang sebaik-baik kejadian. Oleh yang demikian, beliau
menggunakan kerelevanan idea tersebut untuk menggabungkan kedua-dua teori
tersebut kerana berpendapat kedua-dua unsur tersebut tidak boleh difikirkan
secara terpisah.
Dalam teori yang digunakan oleh beliau, terdapat tiga bahagian yang
dikemukakan, iaitu bulatan, anak panah (dua hala) dan garisan putus-putus.
Bahagian ini dapat dijelaskan dalam rajah di bawah:
Berdasarkan rajah di atas, tiga aspek yang ditonjolkan adalah bulatan yang
bermaksud keadaan yang mana memerlukan manusia untuk berbahasa secara sempurna,
iaitu dari aspek nahu, makna dan tujuannya. Bahagian kedua pula adalah anak
panah (dua hala) yang menggambarkan wujudnya hubungan langsung secara tersurat
antara penutur dan pendengar. Aspek yang terakhir adalah garisan putus-putus
yang memaparkan hubungan secara tersirat antara manusia dengan Maha Pencipta,
iaitu Allah (Mohd Rashid Idris, 2012: 43).
*Prinsip Asas Pertama Dalam Teori Falsafah Bahasa: Berbahasa Mengikut Nahu
Secara umumnya, aspek ini menekankan tentang aspek tatabahasa dan makna
ketika seseorang penutur itu berbahasa. Misalnya dalam karya agung Melayu yang
menggunakan bahasa untuk menyatakan sesuatu gambaran tentang
kehidupan masyarakat Melayu. Dalam sejarah Melayu misalnya, menceritakan
tentang kemasukan agama Islam ke Melaka, Sultan Muhammad Syah mengambil berat
tentang tiga daripada lima Rukun Islam (Haron Daud, 1989: 45). Contohnya:
“Hatta, maka hari pun asarlah; maka datanglah kapal dari Judah. Serta ia…
lalu ia bersembahayang di pantai Melaka itu.”
Petikan tersebut menggambarkan Saiyid Abdul Aziz mendirikan sembahyang dan
mendapat perhatian ramai. Penulis memfokuskan kepada makna yang sempurna
daripada petikan ayat tersebut yang menggambarkan perlakuan tersebut untuk
menyedarkan tentang kepentingan menunaikan solat.
*Prinsip Asas Pertama Dalam Teori Falsafah Bahasa: Berbahasa untuk
Menyampaikan Maklumat yang Benar
Dalam berbahasa, penutur haruslah menyampaikan sesuatu maklumat yang benar
dan tidak berbaur fitnah. Misalnya dalam sejarah Melayu, yang mana
Hang Tuah difitnah oleh pembesar lain sehinggakan Hang Tuah dijatuhkan hukuman
bunuh. Dalam hal ini, pemfitnah tidak akan memperolehi sebarang kebaikan
malahan hanya akan merugikan diri sendiri. Malah Allah juga ada berfirman:
“Wahai orang-orang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah
perkataan yang
benar”
(dalam Mohd Rashid Mohd Idris surah al-Ahzab 33: 70)
*Penutup
Rumusannya, setiap karya atau penulisan pastinya mempunyai idealisme dan
falsafahnya yang tersendiri. Hal ini berkait rapat dengan diri seseorang
penulis itu sendiri. Setiap penulis mempunyai kecenderungan tersendiri untuk
mengaitkan penulisannya dengan falsafah dan pemikiran tertentu, misalnya
berkaitan dengan idealisme bersumberkan alam, falsafah bersumberkan Islam,
falsafah bersumberkan Melayu mahu pun falsafah bahasa. Raja Ali Haji misalnya
berkecenderungan mengaitkan penulisannya dengan Islam, manakala Abdullah Munshi
pula biasanya menulis karya yang tidak lari daripada bahasa dan alam, iaitu
dari aspek sosialisasi dan pelbagai lagi kecenderungan penulisan dalam
menyampaikan falsafah dan pemikiran mereka dalam penulisan. Segalanya berkaitan
dengan kehidupan manusia dan tidak lari dari dimasukkan unsurnya di dalam
sebuah penulisan yang menarik dan berkesan.
Sumber:
Sumber:
A. Samad Ahmad, 2003. Edisi Pelajar Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdullah bin Abdul Kadir munsyi (diperkenalkan oleh Kassim Ahmad), 2004.
Hikayat Abdullah. Selangor Darul Ehsan: Utusan Printcorp Sdn. Bhd.
Mohd Rashid Md Idris (2012). Teori Falsafah Bahasa (Teori Rashid). Perak:
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Mortimer Jerome Adler, 2007. Sebuah Leksikon Pemikiran Barat Gagasan Agung.
Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.
Haron Daud (1989). Sejarah Melayu: Satu Kajian Daripada Aspek
Pensejarahan Budaya. Dewan Bahasa Dan Pustaka: Selangor.
Hashim Hj. Musa (1994). Pengantar Falsafah Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa Dan Pustaka.
Raja Ali Haji (Dikaji dan Diperkenalkan Oleh: Hashim Musa), 2010. Kitab
Pengetahuan Bahas Yayasan Karyawan: Kuala Lumpur
Siti Hawa Haji Salleh (Penyelenggara), 1992. Bustan Al-Salatin. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Syair Ken Tambuhan.Dikaji Oleh: Nuruddin Alraniri.Noriah Mohamed
Et.Al:Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan Dan Dewan Bhasa Pustaka
Ungku Abdul Aziz Ungku Abd Hamid.( 2011). Pantun Dan Kebijaksanaan Akal
Budi Melayu. Dewan Bahasa Dan Pustaka: Kuala Lumpur.
W. G Shellbear, 1975. Sejarah Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti
Sdn. Bhd.
Terima kasih daun keladi. Bagus sangat entri-entri dalam blog ni!!
ReplyDelete