Hikayat
Abdullah Munsyi
Selesai
dikarang pada 3 Mei 1843 di Kampung Melaka, Singapura, pada zaman dunia Melayu
menghadapi cabaran ekonomi, politik dan budaya yang luar biasa dari Barat
(Eropah). Abdullah Munsyi dianggap sebagai pengkritik sosial zamannya yang cuba
membawa wawasan baharu supaya orang Melayu mengubah acuan fikiran dan
kepercayaan lama yang tidak progresif. Beliau menjadi tokoh yang memperkenalkan
genre autobiografi dan genre jurnalistik dalam sejarah kesusasteraan Melayu.
Buku ini mengisahkan pengalaman hidupnya sepanjang berada di Melaka dan
Singapura, yang merupakan beberapa catatan sejarah yang amat penting.
Hikayat
Hang Tuah
Dikarang
sekitar tahun 1641-1736. Satu-satunya epik Melayu yang melakar cita-cita,
kebolehan, dan sikap hidup orang Melayu pada suatu zaman. Hang Tuah mewakili
keunggulan citra Melayu sebagai bangsa yang berbudaya dan bertamadun dengan
menonjolkan sifat-sifat bangga diri, keberanian, kepintaran dan budi bahasa
halus, yang mendapat penghormatan dan pengiktirafan daripada bangsa dan
kerajaan asing, yakni sumber hubungan luar ketamadunan Melayu pada zaman
prapencerobohan Portugis di Melaka. Pengarang mengakhiri karyanya dengan
meninggalkan semangat yang kekal dalam minda Melayu hingga hari ini : “Takkan
Melayu hilang di dunia”.
HIKAYAT INDERAPUTRA
Sebuah
karya agung Melayu genre cerita lipur lara yang terkenal dan tersebar luas pada
abad ke-17 hingga ke-19, terbukti dengan terdapatnya naskhah karya ini dalam
versi-versi Aceh, Jawa, Lombok, Bugis, Makasar, Cam dan Mindanao. Inderaputera,
watak utama hikayat ini, diandaikan sebagai seorang pengembaraan sufi mencari
kebenaran Ilahi. Di samping kisah percintaan dan pengembaraan, karya ini
merupakan sebuah karangan yang penuh dengan nada mengajar dan sebuah epik yang
menyanjung seorang wira yang berjaya melepasi pelbagai rintangan sebelum
mengasaskan dinasti raja tempatan.
HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA
Hasil
penulisan sejarah tradisional, terkarang pada sekitar tahun 1800-an, yang
menyumbang keterangan tentang asal usul keturunan raja-raja Kedah daripada
mitos dan legenda. Penulisan ini menyatukan mitos dan realiti sejarah,
antaranya pemberontakan rakyat menentang Raja bersiung, kisah Raja Buluh
Betung, perhubungan kerajaan Kedah dan Siam, proses pengislaman raja Kedah dan
lain-lain.
HIKAYAT
RAJA PASAI
Kemungkinan
dikarang dalam jangka masa dari tahun 1211-1400. Mencakupi suatu zaman dalam
sejarah Pasai, Sumatera Utara. Di situ agama Islam mula-mula bertapak pada abad
ke-13. Walaupun hikayat ini mengandungi unsur-unsur bersifat mitos setempat
tetapi terdapat juga yang didasarkan kepada fakta sejarah, yang dibuktikan
dengan penemuan nisan Malikul Salih (nama yang diberikan kepada Merah Silau
sesudah memeluk Islam). Karya ini memaparkan kisah kelahiran dan kejatuhan
sebuah kerajaan Melayu yang dapat dijadikan pengajaran untuk generasi akan
datang.
TUHFAT AN-NAFIS
Menceritakan
sejarah Kerajaan Riau-Lingga, sebuah kerajaan Melayu selepas kejatuhan kerajaan
Kesultananan Melaka. Menurut pengkaji, karya ini merupakan karya sejarah Melayu
yang paling kompleks dan canggih antara semua karya Melayu yang dikarang
sebelum abad ke-20. Latar peristiwa meliputi jangka waktu dari awal abad ke-17
hingga pertengahan abad ke-19. Dari segi geografi, Tuhfat al-Nafis meliputi
kerajaan Melayu di Semenanjung Melayu, Kalimantan Barat, Sulawesi Selatan, dan
BetawI.
HIKAYAT
ACEH
Dihasilkan
pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Aceh (1606-1636) sewaktu
berlakunya pertumbuhan fikrah dan wacana ilmu yang pesat dalam sejarah dan
kesusasteraan Melayu. Aceh merupakan pusat tamadun Melayu-Islam yang besar dan
kuat selepas kejatuhan Melaka pada tahun 1511. Dalam hikayat ini pembaca dapat
melihat sejarah kebesaran kerajaan Melayu-Islam Aceh pada zaman itu,
perhubungannya dengan dunia luar, khususnya dengan negeri-negeri dari dunia
Asia-Barat, pertembungannya dengan kuasa-kuasa luar dari Eropah (Portugis dan
Belanda). Karya ini dikarang dalam bahasa
Melayu, bukan dalam bahasa Aceh atau bahasa Arab, membuktikan bahawa bahasa
Melayu menguasai rantau ini dalam pertumbuhan kegiatan penulisan dan pemikiran
yang luar biasa hasil tamadun yang tinggi.
HIKAYAT
PANJI JAYENG KUSUMA
Hikayat Panji Jayeng Kusuma (HPJK) merupakan
sebuah cerita panji yang ditulis dalam bahasa Melayu. Unsur-unsur utama yang
diketengahkan dalam buku ini ialah percintaan, pengembaraan dan peperangan.
Percintaan dalam HPJK berlangsung antara anak-anak raja dari beberapa buah
kerajaan, seperti Kuripan, Daha, Gagelang, Singasari, Manjapahit (Majapahit)
dan Lasem. Semua anak raja ini telah ditunangkan sesama mereka sejak kecil
lagi. Raden Inu Kerta Pati, sebagai wira dalam cerita ini telah ditunangkan
dengan Raden Galuh Candera Kirana, wirawatinya. Namun, akibat tersilap mendapat
gambaran tentang rupa paras Raden Galuh Candera Kirana, Raden Inu Kerta Pati
telah memutuskan pertunangan mereka, sebaliknya berkahwin pula dengan anak raja
Singasari, Raden Galuh Lasmi Ningrat. Walau bagaimanapun, Raden Inu Kerta Pati
akhirnya mengetahui rupa paras sebenar Raden Galuh Candera Kirana selepas
berangkat ke Daha untuk menghadiri perkahwinan Raden Galuh Candera Kirana.
Raden Inu berazam untuk mengambil semula tunangnya itu, tetapi gagal apabila
Raden Galuh Candera Kirana menghilangkan diri. Ekoran daripada peristiwa itu
bermulalah pengembaraan mereka mencari Raden Galuh Candera Kirana. Sepanjang
pengembaraan ini, berlaku pelbagai peristiwa yang menarik seperti peperangan,
penjelmaan, penyamaran dan sebagainya.
Diperoleh daripada http://ilmu.edublogs.org/karya-karya-agung/
No comments:
Post a Comment